Thursday, 10 November 2011

Ngeri, tukang kayu maut rempuh treler

GOMBAK – Rutin harian seorang tukang kayu pulang ke rumah selepas tamat tempoh bekerja berakhir tragedi apabila dia maut merempuh sebuah treler di kilometer 450.9, Lebuhraya Utara Selatan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh, petang semalam.

Dalam kejadian malang kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Lee Chong Voon, 55, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dikatakan menghala balik ke rumahnya di Batu Arang dari tempat kerjanya di Damansara.

Jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa menggunakan lorong kecemasan ketika melalui lebuh raya berkenaan tanpa memikirkan insiden malang bakal menimpa dirinya.

“Berkemungkinan tidak menyedari kelibat sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan laluan, mangsa terus merempuh kenderaan berat terbabit.

“Difahamkan, treler berkenaan diletakkan di bahu jalan berikutan tayar kenderaan itu pecah namun tiada langkah-langkah keselamatan diambil pemandu lori termasuk tidak meletakkan sebarang tanda bagi memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kejadian berlaku berhampiran Kampung Seri Indah, Sungai Buloh.

Beliau berkata, akibat rempuhan di bucu kanan belakang treler, topi keledar mangsa yang dikatakan belum pernah berkahwin itu tercabut dan terpelanting di atas jalan.

“Mangsa pula tercampak dan tertiarap di atas motosikalnya sendiri yang sudah terjatuh. Akibat kecederaan parah di bahagian kepala, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian.

“Bagaimanapun pemandu treler dan kelindan tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri selepas kejadian berlaku,” katanya mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262257 untuk membantu siasatan.


SUMBER: SH

No comments:

Post a Comment