Sunday, 6 November 2011

Inilah punca kenapa manusia dijangkiti histeria

SEORANG bekas pekerja kilang rokok di Indonesia, Lina memberitahu bahawa kali pertama dirinya dirasuk oleh semangat jahat atau mengalami histeria adalah ketika dia berumur 17 tahun.

"Kejadian itu berlaku pada kakak saya dahulu apabila dia tiba-tiba menjerit dan tidak boleh bergerak kerana badannya mengalami kekejangan.
"Tidak lama selepas itu, semangat jahat yang merasuk kakak saya masuk ke dalam badan saya pula," katanya.

Sebelum ini kejadian kanak-kanak sekolah, wanita muda dan pekerja kilang dirasuk beramai-ramai atau tiba-tiba bercakap dengan suara yang pelik sering dilaporkan di Indonesia.

Pada awal bulan ini, stesen televisyen Metro TV menyiarkan rakaman 11 pelajar dan lima guru di sebuah sekolah di tengah pulau Sumbawa tiba-tiba mengalami histeria atau dirasuk.
Pada Jun tahun lalu, seramai 50 pekerja wanita di sebuah kilang di Tengerang menangis dan mengalami kekejangan kerana histeria.

Dalam satu lagi kejadian pada November lalu, seramai 30 pelajar sekolah menengah di sebuah sekolah di Kalimantan mengalami histeria.
Seorang pegawai berkata, kejadian itu berlaku selepas salah seorang pelajar tiba-tiba menjerit dan tidak boleh bergerak ketika menghadiri satu majlis perhimpunan di sebuah sekolah.

Tidak lama selepas itu, beberapa rakan pelajar tersebut mula menjerit dan tidak sedarkan diri.
Sebahagian pelajar sedar daripada pengsan setelah seorang pelajar memainkan laungan azan menerusi telefon bimbitnya.

Kebanyakan penduduk berpendapat bahawa pelajar itu dirasuk oleh semangat jahat yang tinggal di sebatang pokok berhampiran sekolah terbabit.
Bagaimanapun, pakar-pakar berpendapat bahawa fenomena itu mungkin berpunca daripada tekanan yang dialami oleh mangsa dan mempunyai kaitan dengan budaya.

"Fenomena dirasuk secara beramai-ramai itu seolah-olah ia berjangkit tetapi sebenarnya terdapat unsur kerelaan dalam individu yang terbabit," kata seorang ahli antropologi, Tanya Luhrmann.

Dia berkata, pada kebiasaannyamangsa terdiri daripada golongan bawahan dalam masyarakat dan ketika dirasuk mereka akan melakukan atau membicarakan sesuatu yang selama ini dipendamkan dalam hati.

Pakar juga berpendapat kepercayaan agama, pendidikan dan pembangunan masih tidak dapat menjauhkan masyarakat pelbagai etnik di Indonesia daripada mempercayai kepercayaan karut.
"Di Indonesia, rasukan biasanya berkait rapat dengan budaya," kata seorang pakar, Lidia Laksana Hidajat daripada Universiti Atma Jaya di Jakarta.
"Walaupun hidup di dunia yang moden tetapi di Bali terdapat satu tarian tradisional iaitu kuda kepang yang mempunyai kaitan dengan kejadian rasukan.
"Indonesia kini sedang membangun tetapi kejadian rasukan seperti itu masih lagi berlaku pada setiap masa," katanya.
Lidia yang mengkaji fenomena rasukan beramai-ramai turut menemu bual Lina, 23, yang mendakwa sering dirasuk sejak enam tahun yang lalu oleh jin yang sama.
"Muka jin itu seperti kakak saya tetapi badannya sukar dilihat.
"Makhluk itu akan memanggil nama saya tetapi sekiranya diekori ia akan hilang," kata Lina.

Wanita itu juga memberitahu bahawa kejadian dirasuk secara beramai-ramai sering berlaku di kilang rokok di Malang, Jawa tempatnya bekerja dahulu.
Pada Mac 2006, media di Indonesia melaporkan terdapat sekumpulan pekerja wanita di kilang itu tiba-tiba mengalami histeria atau dirasuk.
Lidia berkata, dia pernah mewawancara 30 wanita yang dirasuk dalam kejadian itu sebagai salah satu kajiannya dan mereka memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Mereka (mangsa) duduk dalam satu barisan dan bekerja menggulung rokok dengan menggunakan tangan di dalam sebuah dewan.
"Tiba-tiba salah seorang daripada pekerja itu mula menangis dan badannya menjadi kejang diikuti oleh seorang lagi pekerja yang berada di sebelahnya.
"Beberapa rakan mangsa cuba membantu tetapi tidak lama selepas itu, mereka juga mengalami keadaan yang sama dan ia seperti kesan domino," katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian kesemua mangsa yang keletihan tertidur dan apabila terjaga mereka tidak dapat mengingati apa yang berlaku.
Menurut Lidia, pekerja kilang itu bekerja dalam situasi senyap dan ia merupakan salah satu elemen sebelum kejadian rasukan berlaku.
"Rasukan beramai-ramai biasanya berlaku apabila mereka berada dalam persekitaran yang senyap dan melakukan perkara yang sama bersama-sama," tambahnya.

Lidia merumuskan bahawa kejadian rasukan beramai-ramai mungkin berpunca akibat terlalu letih dan tekanan bukannya akibat semangat jahat.
"Kebanyakan mangsa rasukan adalah terdiri daripada mereka yang terlalu mengamalkan ajaran agama atau sering mengalami tekanan.

"Mereka juga terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan kebanyakan mangsa memberitahu bahawa mereka mempunyai pengalaman buruk ketika di zaman kanak-kanak," katanya.
SUMBER: KOSMO

No comments:

Post a Comment