Sunday, 20 November 2011

Chef Wan Tidak Layak Jadi Juri Maharaja Lawak?


Sejak bermulanya program Maharaja Lawak Mega (MLM), pelantikan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan sebagai juri tetap, mengundang pelbagai reaksi di kalangan pihak.

Walaupun minggu ketiga baru sahaja berakhir pada Jumaat lalu, program ini menjadi semakin ‘panas’ apabila ramai berpendapat komen Chef Wan terlalu ‘pedas’ sehingga menyinggung perasaan peserta.

Sebagai contoh pada minggu lalu, kumpulan yang tersingkir, Anje menyifatkan komen yang diberikan Chef Wan sangat ‘pedas’.

Anggota kumpulan itu, Acong Sweet Child dan Joey kelihatan tidak berpuas hati dengan kelantangan Chef Wan sehingga mengheret isu tersebut ke dalam sidang media.

Tidak menunggu lama untuk menjelaskan keadaan sebenar, Chef Wan mengatakan bahawa dia memang patut berkata demikian, setelah kumpulan tersebut gagal mempamerkan aksi menghiburkan.

“Saya terpaksa menolak beberapa program masakan untuk hadir ke MLM. Saya datang dengan harapan tinggi untuk melihat persembahan peserta yang menghiburkan.

“Ini bukan rancangan biasa, takhtanya lebih tinggi daripada Raja Lawak dan Maharaja Lawak (ML) kerana barisan peserta bukan calang-calang.

“Jadi, harapan saya turut menggunung untuk lihat sesuatu yang baru dan berharap agar lawak yang dihasilkan tidak pernah kita lihat sebelum ini. Namun, hasilnya gagal kerana komitmen peserta tidak seperti yang saya harapkan.

“Saya kecewa dengan apa yang mereka hasilkan,” katanya ketika ditemui di sidang media MLM baru-baru ini.

Chef Wan turut menyatakan bahawa dia tidak kisah jika komen tersebut mengundang kemarahan sebilangan pihak dan dihujani dengan kritikan di laman Twitter atau Facebook miliknya.
“Saya tidak kisah kalau ada yang ‘bantai’ saya kerana komen tersebut kerana saya bercakap berdasarkan mata penonton. Kalau saya sebagai juri pun sudah ‘muak’ dengan aksi mereka, bagaimana pula dengan penonton?

“Mereka bersengkang mata untuk melihat program ini di lewat malam, tetapi ia seakan tidak berbaloi jika hanya ini yang peserta dapat berikan.

“Komen saya, berdasarkan persembahan yang dihasilkan. Saya tidak ‘kejam’ untuk memberi komen negatif jika persembahan mereka memenuhi cita rasa,” katanya yang mengharapkan agar minggu keempat lebih baik dari minggu sebelumnya.

No comments:

Post a Comment