Thursday 8 September 2011

Warga Emas Cedera Dilibas Parang Oleh Penyamun Ketika Sedang Kira Duit

MARAN: Seorang warga emas yang sedang mengira wang hasil jualan sawit menempuh detik cemas apabila diserang seorang lelaki sebelum disamun menyebabkannya kerugian RM4,000 di Felda Jengka 10, Bandar Tun Razak, dekat sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Ismail Jelani, berusia 73 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh naik tingkat atas rumahnya sebelum menyedari kehadiran penyamun bersenjatakan parang berdiri di belakang pintu.

Penyamun tidak menutup muka terus menyerang mangsa sambil cuba merampas wang tunai dipegang warga emas berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa yang tidak mahu menyerah kalah kemudian mencapai sebatang besi yang kebetulan berada di ruang tamu sebelum cuba melawan penyamun terbabit.

Namun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila dia tersungkur selepas bertubi-tubi diasak penyamun hingga menyebabkannya cedera di kepala dan kedua-dua tangan akibat terkena libasan parang.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa bermandi darah akibat ditetak tidak mampu melawan penyamun terbabit selain memikirkan keselamatan isteri dan anak yang berada di tingkat bawah.



Menurutnya, sejurus mangsa rebah akibat diserang, penyamun terbabit terus mengutip wang yang bertaburan di lantai sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.

No comments:

Post a Comment