Saturday 3 September 2011

Suri Rumah Trauma Trauma Apabila Rumahnya Diceroboh 40 Lelaki


KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah bukan saja trauma selepas rumahnya diceroboh dan dipecahkan lebih 40 lelaki yang menggelar diri mereka sebagai anggota ‘sukarelawan’ malah dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian itu.


Difahamkan, ketika kejadian jam 12.15 pagi kelmarin, mangsa V Revathy, 25, tidur bersama anak lelakinya berumur lapan tahun manakala abang iparnya, P Munumasamy, 27, pula tidur di bilik berasingan di rumah mereka di Taman Sempadan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Katanya, dia terkejut selepas mendengar bunyi pintu rumah mereka dipecahkan dan nampak lebih 40 lelaki memakai ves di ruang tamu rumah dengan memegang rod besi dan kayu.


“Mereka memecahkan dinding, siling dan perabot di rumah sebelum menyerang abang ipar yang tidur.

“Apabila saya cuba menghalang, mereka mendakwa ‘sukarelawan’ tanpa pakaian seragam yang mempunyai kuasa mutlak untuk menahan sesiapa saja mahupun dengan memecah masuk ke rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.


Beliau hadir bersama Presiden Pasukan Bertindak Alternatif, Kalai Vanar untuk menyerahkan memorandum agar polis mengambil tindakan segera untuk menahan suspek yang memecah masuk ke rumah mangsa.



Menurut Revathy, kumpulan itu juga membelasah abang iparnya sehingga cedera parah dan mendakwa dia memecah masuk kereta di kawasan berdekatan pusat judi haram yang ‘dijaga’ kumpulan berkenaan.

“Setahu saya, abang ipar hanya di rumah sejak pagi pada hari kejadian dan meskipun dia ada membuat sesuatu di luar, mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak ganas sehingga memecahkan barangan di rumah.



Susulan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal kerana risau dengan tindakan ganas kumpulan sukarelawan itu. Sementara itu, Kalai berkata, selepas mendapat tahu polis belum mengambil sebarang rakaman gambar mengenai lokasi kejadian sehingga tempoh 36 jam, dia membuat rakaman video kerosakan di rumah mangsa sebelum melampirkan bersama-sama dengan memorandum, semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Bahagian Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Foo Chek Seng.


No comments:

Post a Comment