Sunday 4 September 2011

Remaja Maut Rempuh Lembu


ENDAU: “Saya reda dengan kejadian ini, namun kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik lembu yang melepaskan ternakan mereka hingga berkeliaran di jalan raya sedangkan jalan itu terlalu gelap dan tiada lampu jalan.

“Sekiranya mereka menambat haiwan ternakan masing-masing, saya percaya kemalangan ini dapat dielakkan,” kata bapa remaja yang terbunuh akibat merempuh seekor lembu, Chik Jusoh, 70, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, anak bongsunya, Ahmad Zakwan Chik, 18, maut di tempat kejadian apabila motosikal Honda EX5 ditunggangnya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Haji Ariffin.


Menurutnya, dia difahamkan anak bongsunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis rumah terbuka rakannya kira-kira 500 meter dari lokasi sebelum merempuh seekor lembu yang melintas jalan.


“Sebenarnya arwah tinggal bersama seorang kakaknya di Bentong, Pahang sejak kematian ibunya lapan tahun lalu, namun beriya-iya mahu pulang ke kampung di Endau untuk tinggal bersama adik-beradiknya yang lain.



“Rupa-rupanya keinginan itu petanda arwah akan meninggalkan kami dalam usia muda.



“Apa yang peliknya, sebelum arwah keluar rumah, dia tidak membenarkan rakannya membonceng kerana ingin menunggang sendirian selain berpesan supaya membawa pulang motosikalnya itu.


“Mungkin takdir menentukan dia pergi tanpa membabitkan rakannya. Saya juga terkilan kerana dia tidak sempat melanjutkan pengajian tahun depan,” katanya.



Menurutnya, ketika kejadian, dia berehat di rumah kerana baru pulang dari Bentong sebelum seorang anak memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal dan seekor lembu di jalan berkenaan. Sejurus menerima berita itu, katanya, dia bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya, namun sedih apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dijalankan.



“Jenazah dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Juling di sini, pagi semalam,” katanya.



Berikutan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika di jalan raya bagi mengelak kejadian sama berulang.


No comments:

Post a Comment