Friday 2 September 2011

‘Puding tidak sesedap air tangan Ashraf’



KUALA TERENGGANU: “Walaupun sudah sebulan arwah meninggalkan kami sekeluarga, ada kalanya saya seolah-olah terasa kehadirannya terutama apabila memasak di dapur.


“Arwah seorang anak yang ringan tulang dan rajin membantu di dapur. Sudah menjadi kebiasaan dia membantu saya di dapur sejak kecil lagi,” kata ibu kepada Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, lelaki yang gagal dalam permohonannya menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.

Mohd Ashraf Hafiz meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Jantung Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada 30 Julai lalu selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat muntah-muntah dan pitam sehingga tekanan darahnya dikatakan menurun.


Dalam nada sebak mengenangkan pemergian anaknya, wanita yang membahasakan dirinya sebagai Cik Yah, 50, itu berkata ketiadaan arwah sememangnya dirasai terutama pada Aidilfitri ini apatah lagi arwah rapat dengan keluarga.

“Setiap kali Aidilfitri, arwah antara yang paling sibuk membuat persediaan. Arwah boleh diharap kerana semua urusan memasak, mengemas dan menghias rumah diuruskannya tanpa disuruh. Jika ada tetamu pun, arwahlah yang menyiapkan air tanpa perlu saya membantunya.


“Mengenai hidangan kegemaran arwah ketika Aidilfitri, dia paling pandai memasak puding koktel dan kek coklat. Malah, hidangan berkenaan bukan saja menjadi menu wajib kami sekeluarga ketika Aidilfitri, tetapi turut digemari tetamu lain sehingga ada yang menempah kek coklat itu.



“Bukan saya hendak memuji anak sendiri, tetapi masakan arwah memang sedap. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan. Tahun ini, saya ada menyediakan puding koktail atas permintaan adik arwah. Namun, rasanya tidak seenak air tangan arwah.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu menyediakan puding koktel kerana hidangan itu membuatkan saya terkenangkan arwah,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini, semalam.



Menurutnya, arwah bagaimanapun kurang membantunya dalam kerja berat seperti memanjat atau membersihkan kipas.

“Kalau bab memasak, arwah memang cekap, tetapi kerja berat semuanya diserahkan kepada adik arwah. Sejak kecil lagi, arwah memang lebih suka membantu saya daripada bermain di luar,” katanya.


Ditanya sama ada arwah ada menunjukkan sikap pelik sebelum meninggal dunia, Cik Yah memaklumkan arwah ada memakai purdah sebelum dimasukkan ke HSNZ selain mengambil beberapa keping gambarnya sendiri ketika dirawat di hospital itu.

No comments:

Post a Comment