Monday 5 September 2011

Polis Kenal Pasti Mayat Remaja Wanita Celah Batu

KUANTAN: Misteri mayat wanita ditemui tersepit di kawasan berbatu di pusat perkelahan Sungai Mas, Sungai Lembing, dekat sini, Khamis, lalu terjawab apabila polis mengesahkan mangsa mati akibat dicekik sebelum dicampakkan di kawasan berkenaan.


Mayat wanita berkenaan ditemui lengkap berpakaian seluar jeans biru dan kemeja-T jenama Polo disahkan sebagai Haslinda Mamat, 20, dari Kampung Tiram, di sini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, Ahad lalu, mendedahkan mangsa mati dibunuh dengan cara dicekik sebelum dibuang.


Katanya, berikutan itu kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa, polis sudah menahan dua suspek lelaki berusia 30 dan 33 tahun,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.


Harian Metro 3 September lalu melaporkan, sekumpulan remaja yang berkelah di kawasan berkenaan jam 2 petang terkejut apabila menemui mayat gadis tersepit di celah batu.



Ketika ditemui, tiada sebarang kecederaan dikesan pada badan mangsa dan polis juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat gadis berkenaan.

Kamaruzzaman berkata, identiti mangsa dikenal pasti hasil pengecaman ahli keluarganya yang tampil ke IPD selepas berita penemuan mayat disiarkan di akhbar.



Katanya, keluarga mangsa tampil membuat pengecaman berdasarkan pakaian dipakai gadis berkenaan ketika mayatnya ditemui.

Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga mangsa, sebelum kejadian Haslinda dikatakan keluar dari rumah menaiki kereta Perodua Viva miliknya.


“Bagaimanapun, sehingga kini kereta itu belum ditemui dan polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti motif kejadian sama ada dendam atau samun,” katanya.

No comments:

Post a Comment