Tuesday 13 September 2011

Padah tembak ibu mengandung

KOTA BHARU - Tindakan nekad seorang penjenayah melepaskan satu das tembakan mengenai seorang wanita mengandung dalam cubaannya meloloskan diri dari serbuan polis di Tanah Merah, tiga tahun lalu menerima padah apabila dia dihukum 12 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Tambah perit apabila lelaki berusia 39 tahun itu turut dikenakan 12 sebatan rotan oleh Hakim Azman Abdullah di mahkamah sama.

Azman dalam keputusannya berkata, mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh, Anuar Ismail ketika kejadian yang berlaku pada jam 8.45 malam, 20 Februari itu.

“Selepas meneliti fakta kes dan mempertimbangkan rayuan tertuduh, mahkamah memutuskan hukuman 12 tahun penjara berkuat kuasa hari ini (semalam) dan 12 sebatan terhadap kamu,” katanya.

Berdasarkan fakta dikemukakan, kejadian bermula sejurus tertuduh menyedari kehadiran polis berhampiran Sekolah Kebangsaan Belimbing lalu bertindak memecut kenderaan jenis Honda Accord WCQ 9766 ke arah Hospital Tanah Merah.

Dalam aksi kejar-mengejar itu, tertuduh memberhentikan keretanya di bukit tepi bilik mayat sebelum berlari masuk ke dalam sebuah rumah di kuarters Blok H bagaimanapun dihalau beberapa pelatih perempuan yang terkejut dengan kehadirannya itu. 

No comments:

Post a Comment