Friday 2 September 2011

Budak Jatuh Motor Balik Beraya Maut Digilis Bas


POH: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut apabila kepala dan badannya digilis sebuah bas selepas tercampak motosikal ditunggang ibunya.


Difahamkan, kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nor Ezwin Mohd Erwan bersama ibunya, Rodiah Abdullah, 40-an, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas beraya bersama sanak saudara di Sitiawan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bakar Arang, Sungai Renggam, Perak Tengah, motosikal dinaiki Rodiah bersama mangsa hilang kawalan selepas dirempuh sebuah motosikal lain dari arah belakang.


Rempuhan menyebabkan motosikal dinaiki dua beranak itu terbabas di tepi jalan manakala, Nor Ezwin pula tercampak di tengah jalan sebelum sebuah bas yang tiba dari arah sama gagal mengelak kanak-kanak itu dan menggilisnya.

Nor Ezwin maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala, ibunya hanya cedera ringan.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang kelmarin di Kilometer 40, Jalan Teluk Intan - Sitiawan berdekatan Perak Tengah itu, kanak-kanak itu cedera di kepala sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.



Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Abdullah Ishak ketika dihubungi semalam, berkata kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak itu dirempuh sebuah motosikal lain dari belakang.

“Bas henti-henti yang menggilis kanak-kanak itu pula tidak sempat mengelak dan gagal membrek kerana kejadian berlaku sangat pantas,” katanya.



Sementara itu, Wan Abdullah berkata, seorang wanita maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 285.6, dekat Simpang Pulai, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Rohaya Darus, 41, dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, manakala, suaminya hanya mengalami cedera ringan.


“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Kejadian berlaku apabila mangsa bersama suami yang menaiki Proton Satria dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras sebelum tayar kereta mereka meletup.


“Suami mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan. Rempuhan itu menyebabkan bahagian depan kenderaan itu rosak terutama di bahagian penumpang,” katanya.

No comments:

Post a Comment