Thursday 8 September 2011

Anak Mengamuk Guna Senapang Bapa Kerana Bekas Isteri Tidak Mahu Rujuk Semula

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pengawal keselamatan bagai hilang pertimbangan apabila bertindak merampas senapang patah milik bapanya akibat perselisihan faham selepas bekas isterinya yang kini menetap di Perlis didakwa enggan rujuk semula dengannya dalam kejadian amuk di Kampung Teluk Wang Besar, di sini, semalam.
Berikutan keengganan bekas isterinya itu, lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan mengamuk kira-kira jam 3.30 petang.

Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki berkenaan bertengkar dengan adik lelakinya apabila dia naik angin secara tiba-tiba lalu masuk ke dalam bilik bapanya yang berusia 60-an dan mengambil selaras senapang patah yang disimpan di dalam almari.


Menurutnya, keadaan berkenaan mengakibatkan kedua ibu bapanya berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Mengikut maklumat awal, lelaki terbabit dipercayai mengamuk kerana kecewa dengan sikap bekas isterinya enggan rujuk semula selepas pasangan terbabit berpisah kira-kira setahun lalu.


“Lelaki itu sudah dua kali pergi ke Pejabat Agama Daerah untuk mengambil borang, tetapi hasratnya (merujuk semula) tidak mendapat layanan daripada wanita terbabit,” katanya.



Menurutnya, lelaki berkenaan yang turut mempunyai satu tali pinggang peluru dipercayai mengancam akan melakukan tindakan luar dugaan.

Berikutan itu, polis yang dihubungi berikutan kejadian itu, mengepung rumah milik ibu bapa suspek berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga, selain mendapatkan bantuan bekas isterinya untuk memujuk lelaki itu agar bagi menyerah diri.



Ketika kejadian, tiga anak lelaki terbabit yang dipeliharanya, berada di rumah ibu saudaranya berhampiran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey berkata pihaknya berjaya menahan lelaki 35 tahun terbabit sebaik dia keluar mencari bekas isterinya yang berada di rumah berhampiran, kira-kira jam 9.50 malam.


Menurutnya, lelaki terbabit tidak membawa sebarang senjata api ketika polis menahannya untuk membantu siasatan.


“Polis turut merampas sepucuk senapang patah dan lebih 30 butir peluru dalam rumah terbabit untuk siasatan dan suspek akan disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

No comments:

Post a Comment