Wednesday 7 September 2011

Anak Cederakan Bapa Guna Pisau Potong Sayur Dipenjara 10 Tahun

KOTA BHARU: Tindakan seorang penoreh mencederakan bapa kandungnya dengan pisau pemotong sayur mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.


Majistret Nur Zakiyah Shamsudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Azuan Che Hasan, 29, selepas mengaku salah mencederakan bapanya, Che Hasan Jusoh, 58, dalam kejadian di Kampung Pasir, Ketereh, Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur terhadap bapa kandungnya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Hutan Pasir, jam 7.45 petang, 9 Mei lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.


Berdasarkan fakta kes, pada jam 7.45 malam, 9 Mei lalu, ketika ibu suspek berada di rumah di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, dia melihat suami dan anaknya itu bergaduh.



Pergaduhan itu menyebabkan suaminya cedera dan kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Ketereh.

Tertuduh yang lengkap berpakaian penjara berwarna merah mengaku salah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah selain mengakui insaf dan tidak mengulanginya lagi.

No comments:

Post a Comment