Sunday 4 September 2011

25 Peluru Penabur Terbenam di Betis Seorang Warga Emas


PEKAN: “Kesihatan saya kini terjejas teruk selepas kejadian berkenaan. Bisa 25 butir kecil peluru penabur itu mungkin sudah meresap dalam badan hingga menyebabkan kaki dan tangan saya lemah selain mengalami masalah pernafasan.


“Saya kini tidak mampu berjalan jauh dan melakukan kerja berat, malah semua aktiviti harian saya turut terjejas,” kata Abdul Mutalib Mohamed Arif, 70, yang menjadi mangsa peluru sesat ketika menyertai operasi memburu babi hutan, Januari lalu.

Ketika itu, Abdul Mutalib bersama lebih 30 penduduk setempat termasuk anggota Rela menyertai operasi menembak babi hutan yang banyak berkeliaran di Kampung Langgar.


Sejurus sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan lain duduk di atas motosikal diletakkan di tepi jalan dalam kawasan sawah dan secara tiba-tiba seekor babi melintas di depannya menyebabkan seorang peserta melepaskan tembakan ke arah haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, tembakan pertama lelaki terbabit tidak mengenai babi berkenaan sebaliknya tersasar ke atas jalan tar sekali gus menyebabkan peluru itu yang dilepaskan dalam jarak kira-kira enam meter dari mangsa terpelanting dan tertanam di dalam betis kiri dan kanannya.


“Saya hanya sedar betis saya terkena peluru sesat itu apabila seorang rakan melihat darah banyak keluar dari kaki saya. Mereka menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan.



“Doktor yang melakukan pemeriksaan hanya mengeluarkan lima butir peluru saja dan saya dibenarkan pulang. Rupa-rupanya masih ada baki 25 butir peluru penabur yang masih tertanam di dalam betis kanan saya. Isteri, Roshamizan Hamid yang mengeluarkan semua 25 butir peluru berkenaan di rumah beberapa hari kemudian iaitu selepas peluru berkenaan timbul di kulit betis saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment