Tuesday 13 September 2011

2 pelajar ditahan kes rompak restoran mamak seksyen 15 dan 24

SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan adalah antara lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan restoran India Muslim di dua lokasi berasingan di bandar raya ini pada 28 Ogos dan 8 September lalu.
Berikutan penangkapan suspek berusia antara 17 dan 27 tahun itu, polis yakin dapat menumpaskan kumpulan samun bersenjata yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata semua suspek ditahan dalam lima operasi berasingan di sekitar Shah Alam, Gombak dan Rawang pada 8 September lalu hingga kelmarin.


“Selain itu, terdapat dua suspek masih menuntut di tingkatan lima. Perkara ini tidak dapat diterima terutama apabila remaja bawah umur dan mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan melakukan jenayah.

“Saya berasa agak kecewa kerana tiga suspek kes rompakan ini ialah remaja di bawah umur. Gerakan memburu suspek lain masih dijalankan.


“Bagaimanapun, parang yang digunakan dalam kejadian jenayah berkenaan masih belum ditemui dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 15 September ini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.





Menurut Tun Hisan, siasatan menunjukkan salah sebuah motosikal yang digunakan dalam rompakan itu didapati kenderaan curi.

“Kita juga dapat menemui semula komputer riba yang dirampas dari pelanggan restoran seperti yang tersebar dalam Internet. Ketika ini polis masih memburu lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang masih bebas dan salah seorangnya dikenali sebagai S Veeramuthu berusia 19 tahun dari Kapar, Klang,” katanya sambil menunjukkan fotofit suspek.




Dua rompakan sebelum ini berlaku di dua restoran India Muslim berasingan di bandar raya ini pada 28 Ogos di Seksyen 15 dan 8 September lalu di Seksyen 24.

Harian Metro sebelum ini melaporkan beberapa pelanggan sebuah restoran mamak di Seksyen 15, yang sedang menjamu selera lari menyelamatkan diri apabila premis itu dimasuki perompak bersenjatakan parang dan pisau. Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu selama empat minit dan 11 saat pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, lima lelaki bertopi keledar serta ada yang memegang pisau dan parang meluru ke arah pelanggan.


No comments:

Post a Comment